Assalamualaikum wbt.
Kemunculan AirAsia X dalam Industri Umrah bermula musim 2013 ini menyebabkan ramai yang memasang impian untuk menunaikan Umrah dengan tambang Murah. Maka akan wujudlah Jemaah Umrah Runcit iaitu jemaah yang pergi ke tanah suci dalam kumpulan kecil antara 2 orang ke atas. Biasanya jemaah runcit ini terdiri dari sepasang suami isteri atau bersama anak-anaknya atau boleh jadi seorang diri sahaja. Sebelum bercadang untuk menjadi Jemaah Umrah Secara Runcit ini, jemaah harus memahami terlebih dahulu beberapa perkara penting supaya tidak timbul masalah semasa berada di tanah suci.
  
Seperti yang saya maklumkan dalam entry terdahulu, sebelum membeli tiket AirAsia, pastikan dahulu tarikh pilihan kita. Jangan beli tiket jika tarikh berlepas dalam bulan Syawal keatas. Sia-sia sahaja kerana visa Umrah telah ditutup pada masa itu kerana sudah memasuki bulan Haji. Memanglah harga tiket pada tarikh berkenaan terlalu murah. Saya amat bersimpati dengan seorang bakal jemaah bersama ibunya yang telahpun membeli tiket AirAsia X yang tarikh berlepas jatuh dalam bulan Syawal. Nak tolong pun tak boleh sebab memang visa Umrah tidak dibuka. Ada yang kata guna “calling visa”. Visa jenis ini ialah jemputan dari rakan atau saudara mara di Arab Saudi yang menjemput kita ke Arab Saudi. Biasanya visa jenis ini untuk ahli perniagaan ataupun Jemputan menghadiri Seminar dan event di Arab Saudi. Jika boleh pun, nasib ibunya pula bagaimana ? Tak kan ibunya ada jemputan atas urusan perniagaan dan sebagainya ?
Sebenarnya tidak banyak agensi travel yang berminat menguruskan Jemaah Umrah runcit ini. Ini kerana selain untung yang sedikit, urusannya pula agak rumit dan leceh sedikit. Ya la, adalah lebih baik dan ekonomik menggaji seorang Petugas menjaga jemaah yang ramai ( 1 bas misalnya) daripada menjaga seorang dua jemaah. Dan kita kena bersedia dengan Kos Ground Handling yang lebih tinggi sedikit jika mahu menjadi Jemaah secara Runcit ini.
Mengapa kosnya jadi tinggi ?
Pertama, ialah kos pengangkutan. Bagi jemaah yang ramai, kos pengangkutan adalah rendah kerana kos sewaan bas dikongsi dengan jemaah yang ramai. Tetapi jika jemaah runcit, kos sewaan GMC ataupun Van dikongsi sesama mereka. Jika jumlah ahli seramai 6 orang, pasti kosnya lebih rendah berbanding jika ada 2 orang jemaah sahaja. Maknanya semakin sedikit bilangan jemaah, semakin tinggi kos pengangkutannya. Tetapi jika mahu lebih jimat, jemaah boleh sewa sahaja Teksi untuk membawa ke destinasi yang dihajati. Sewa teksi dari airport Jeddah ke Madinah baru sekitar SR500 sahaja (boleh dikongsi sesama Jemaah Runcit). Masalahnya bolehkah kita berkomunikasi dengan mereka? Rata-rata orang di sini tidak tahu berbahasa Inggeris.
Kedua, keperluan Mutawwif. Bagi jemaah yang tidak biasa menunaikan Umrah, khidmat Mutawwif amat diperlukan. Mutawwif ini akan bersama dengan jemaah dari Madinah menuju ke Makkah, membantu jemaah “check in” hotel Makkah dan membimbing jemaah untuk melakukan ibadah Tawaf dan Saie Umrah. Tanpa mutawwif pasti perjalanan akan menjadi sukar dan mungkin bermasalah. Bagi jemaah yang sudah biasa, mungkin khidmat Mutawwif ini tidak diperlukan. Jemaah boleh menaiki teksi dari Madinah menuju ke Makkah dan terus menuju ke hotel destinasi. Dan jemaah juga boleh terus melaksanakan Tawaf dan Saie Umrah secara sendiri tanpa dibantu Mutawwif.
Ketiga, soal makanan. Jemaah runcit harus menerima hakikat tiada Catering yang sanggup menyediakan makanan untuk mereka kerana jumlah mereka yang sedikit. Tak berbaloi kata mereka. Kecuali jika semasa mereka di sana, di hotel penginapan mereka sudah ada khidmat catering syarikat lain yang mungkin jemaah boleh memohon untuk tumpang sama dengan bayaran yang dipersetujui. Jika di Madinah, jemaah boleh ambil pakej “Fullboard” iaitu sewa bilik termasuk makan sekali. Atau jemaah bersetuju untuk tidak terlalu “concern” soal makan kerana makanan boleh didapati di banyak kedai semasa di sana. Makan aje la asal boleh alas perut. Cuma harga makanan di sini jauh lebih mahal berbanding di Malaysia.
Keempat. standard hotel dan jarak dengan masjid ? Harga sewaan bilik hotel di Makkah ada yang serendah SR300 untuk 1 malam sehingga ada yang mencecah lebih dari SR1000 bergantung kepada standard dan jarak hotel dengan masjid. Jika mahu jimat dan budget rendah serta sanggup berjalan kaki ulangalik ke masjid pada jarak 600-800 meter dari hotel, boleh memilih hotel yang murah. Tetapi jika mahu selesa beribadah, mudah untuk ulang alik ke masjid dan punya budget, boleh ambil hotel bertaraf bintang yang terletak di laman Masjidil Haram. Hotel-hotel ini pun ada beberapa kategori, yang mengadap Masjidil Haram (Haram View) pasti lebih tinggi dari jenis yang “city view”. Mahu Fullboard (sewa bilik termasuk makanan) pun boleh atau sewa bilik sahaja pun boleh.
Kelima, program Ziarah di tanah suci. Biasanya jemaah secara berkumpulan, program ziarah memang telah diatur dengan menaiki bas dan Mutawwif akan memberi ceramah dan penerangan mengenai sejarah tempat-tempat yang dilawati. Berbeza pula bagi jemaah secara runcit. Boleh jadi tiada program ziarah di tanah suci. Dan jika mahu diadakan Program ziarah di tanah suci, jemaah akan dibawa menaiki kenderaan yang disewa bersama ahli rombongannya sahaja. Mungkin kurang “ummph” kerana bilangannya yang sedikit. Manakala bagi ziarah Muzium Haramain pula memang tidak boleh. Ini kerana hanya jemaah yang menaiki bas sahaja dibenarkan untuk membuat lawatan di sana. Jika jemaah runcit mahu, satu cara yang boleh ialah dengan meminta izin untuk menumpang mana-mana Rombongan Bas yang mahu ziarah di Muzium tersebut.
Justeru sebelum bercadang menjadi Jemaah Umrah Secara Runcit ini fahami terlebih dahulu corak pengendalian di tanah suci supaya tidak timbul masalah yang boleh menyebabkan salah menyalah dengan agensi travel yang berkenaan. Jemaah kena faham apa bidang yang di”cover” dan apa yang tidak. Dan yang pasti layanan di tanah suci pasti tidak sama dengan jemaah berkumpulan. Sebaiknya tanya dahulu dengan agensi yang berkenaan mengenai bidang dan tanggungjawab agensi semasa di sana nanti.

Jumpa lagi dan Wassalam.

Quoted from http://iqbalsafwan.com/jemaah-umrah-runcit-tip-yang-perlu-diketahui/