Assalamualaikum wbt.
Kemunculan AirAsia X dalam Industri Umrah bermula musim 2013 ini
menyebabkan ramai yang memasang impian untuk menunaikan Umrah dengan
tambang Murah. Maka akan wujudlah Jemaah Umrah Runcit iaitu jemaah yang
pergi ke tanah suci dalam kumpulan kecil antara 2 orang ke atas.
Biasanya jemaah runcit ini terdiri dari sepasang suami isteri atau
bersama anak-anaknya atau boleh jadi seorang diri sahaja. Sebelum
bercadang untuk menjadi Jemaah Umrah Secara Runcit ini, jemaah harus
memahami terlebih dahulu beberapa perkara penting supaya tidak timbul
masalah semasa berada di tanah suci.
Seperti yang saya maklumkan dalam entry terdahulu, sebelum membeli
tiket AirAsia, pastikan dahulu tarikh pilihan kita. Jangan beli tiket
jika tarikh berlepas dalam bulan Syawal keatas. Sia-sia sahaja kerana
visa Umrah telah ditutup pada masa itu kerana sudah memasuki bulan Haji.
Memanglah harga tiket pada tarikh berkenaan terlalu murah. Saya amat
bersimpati dengan seorang bakal jemaah bersama ibunya yang telahpun
membeli tiket AirAsia X yang tarikh berlepas jatuh dalam bulan Syawal.
Nak tolong pun tak boleh sebab memang visa Umrah tidak dibuka. Ada yang
kata guna “calling visa”. Visa jenis ini ialah jemputan dari rakan atau
saudara mara di Arab Saudi yang menjemput kita ke Arab Saudi. Biasanya
visa jenis ini untuk ahli perniagaan ataupun Jemputan menghadiri Seminar
dan event di Arab Saudi. Jika boleh pun, nasib ibunya pula bagaimana ?
Tak kan ibunya ada jemputan atas urusan perniagaan dan sebagainya ?
Sebenarnya tidak banyak agensi travel yang berminat menguruskan
Jemaah Umrah runcit ini. Ini kerana selain untung yang sedikit,
urusannya pula agak rumit dan leceh sedikit. Ya la, adalah lebih baik
dan ekonomik menggaji seorang Petugas menjaga jemaah yang ramai ( 1 bas
misalnya) daripada menjaga seorang dua jemaah. Dan kita kena bersedia
dengan Kos Ground Handling yang lebih tinggi sedikit jika mahu menjadi
Jemaah secara Runcit ini.
Mengapa kosnya jadi tinggi ?
Pertama, ialah
kos pengangkutan. Bagi jemaah yang
ramai, kos pengangkutan adalah rendah kerana kos sewaan bas dikongsi
dengan jemaah yang ramai. Tetapi jika jemaah runcit, kos sewaan GMC
ataupun Van dikongsi sesama mereka. Jika jumlah ahli seramai 6 orang,
pasti kosnya lebih rendah berbanding jika ada 2 orang jemaah sahaja.
Maknanya semakin sedikit bilangan jemaah, semakin tinggi kos
pengangkutannya. Tetapi jika mahu lebih jimat, jemaah boleh sewa sahaja
Teksi untuk membawa ke destinasi yang dihajati. Sewa teksi dari airport
Jeddah ke Madinah baru sekitar SR500 sahaja (boleh dikongsi sesama
Jemaah Runcit). Masalahnya bolehkah kita berkomunikasi dengan mereka?
Rata-rata orang di sini tidak tahu berbahasa Inggeris.
Kedua,
keperluan Mutawwif. Bagi jemaah yang tidak
biasa menunaikan Umrah, khidmat Mutawwif amat diperlukan. Mutawwif ini
akan bersama dengan jemaah dari Madinah menuju ke Makkah, membantu
jemaah “check in” hotel Makkah dan membimbing jemaah untuk melakukan
ibadah Tawaf dan Saie Umrah. Tanpa mutawwif pasti perjalanan akan
menjadi sukar dan mungkin bermasalah. Bagi jemaah yang sudah biasa,
mungkin khidmat Mutawwif ini tidak diperlukan. Jemaah boleh menaiki
teksi dari Madinah menuju ke Makkah dan terus menuju ke hotel destinasi.
Dan jemaah juga boleh terus melaksanakan Tawaf dan Saie Umrah secara
sendiri tanpa dibantu Mutawwif.
Ketiga,
soal makanan. Jemaah runcit harus menerima
hakikat tiada Catering yang sanggup menyediakan makanan untuk mereka
kerana jumlah mereka yang sedikit. Tak berbaloi kata mereka. Kecuali
jika semasa mereka di sana, di hotel penginapan mereka sudah ada khidmat
catering syarikat lain yang mungkin jemaah boleh memohon untuk tumpang
sama dengan bayaran yang dipersetujui. Jika di Madinah, jemaah boleh
ambil pakej “Fullboard” iaitu sewa bilik termasuk makan sekali. Atau
jemaah bersetuju untuk tidak terlalu “concern” soal makan kerana makanan
boleh didapati di banyak kedai semasa di sana. Makan aje la asal boleh
alas perut. Cuma harga makanan di sini jauh lebih mahal berbanding di
Malaysia.
Keempat.
standard hotel dan jarak dengan masjid ?
Harga sewaan bilik hotel di Makkah ada yang serendah SR300 untuk 1 malam
sehingga ada yang mencecah lebih dari SR1000 bergantung kepada standard
dan jarak hotel dengan masjid. Jika mahu jimat dan budget rendah serta
sanggup berjalan kaki ulangalik ke masjid pada jarak 600-800 meter dari
hotel, boleh memilih hotel yang murah. Tetapi jika mahu selesa
beribadah, mudah untuk ulang alik ke masjid dan punya budget, boleh
ambil hotel bertaraf bintang yang terletak di laman Masjidil Haram.
Hotel-hotel ini pun ada beberapa kategori, yang mengadap Masjidil Haram
(Haram View) pasti lebih tinggi dari jenis yang “city view”. Mahu
Fullboard (sewa bilik termasuk makanan) pun boleh atau sewa bilik sahaja
pun boleh.
Kelima,
program Ziarah di tanah suci. Biasanya
jemaah secara berkumpulan, program ziarah memang telah diatur dengan
menaiki bas dan Mutawwif akan memberi ceramah dan penerangan mengenai
sejarah tempat-tempat yang dilawati. Berbeza pula bagi jemaah secara
runcit. Boleh jadi tiada program ziarah di tanah suci. Dan jika mahu
diadakan Program ziarah di tanah suci, jemaah akan dibawa menaiki
kenderaan yang disewa bersama ahli rombongannya sahaja. Mungkin kurang
“ummph” kerana bilangannya yang sedikit. Manakala bagi ziarah Muzium
Haramain pula memang tidak boleh. Ini kerana hanya jemaah yang menaiki
bas sahaja dibenarkan untuk membuat lawatan di sana. Jika jemaah runcit
mahu, satu cara yang boleh ialah dengan meminta izin untuk menumpang
mana-mana Rombongan Bas yang mahu ziarah di Muzium tersebut.
Justeru sebelum bercadang menjadi Jemaah Umrah Secara Runcit ini
fahami terlebih dahulu corak pengendalian di tanah suci supaya tidak
timbul masalah yang boleh menyebabkan salah menyalah dengan agensi
travel yang berkenaan. Jemaah kena faham apa bidang yang di”cover” dan
apa yang tidak. Dan yang pasti layanan di tanah suci pasti tidak sama
dengan jemaah berkumpulan. Sebaiknya tanya dahulu dengan agensi yang
berkenaan mengenai bidang dan tanggungjawab agensi semasa di sana nanti.
Jumpa lagi dan Wassalam.