JEDDAH: Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Naif menyeru supaya
projek meluaskan mataf (tempat bertawaf mengelilingi Kaabah) yang dapat
menempatkan 130,000 jemaah haji pada satu masa, dipercepatkan.
Dia berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa
Tertinggi Haji di pejabatnya di Riyadh. Mesyuarat itu membincangkan
setiap aspek dalam projek itu, terutama dalam menangani masalah
berkurangnya keluasan mataf ketika pembinaan sedang dijalankan.
Menurut laporan agensi berita Saudi, apabila siap, projek itu dapat
meningkatkan kapasiti mataf daripada 52,000 kepada 130,000 jemaah.
Projek itu sudah pun dimulakan. Menurut perancangannya, mataf itu akan
diluaskan 20 meter hingga ke serambi Uthmaniyah di setiap tingkat dalam
Masjid Besar termasuk di teres.Di bahagian bawah, tiang di ruang solat
akan diruntuhkan untuk projek perluasan mataf itu.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan
haji dan jemaah, juga mengenai projek pembinaan di Makkah dan beberapa
tempat suci.
Putera Naif kemudian bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Mauritius,
Mohamed Pild Beilill yang menandatangani perjanjian keselamatan dengan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Putera Ahmed. - Agensi